Thursday, December 29, 2005

Ancaman samakan budaya

"Moralisme telah masuk ke birokrasi dan klinik. Bukan moralitas. Sehingga, mereka tak bisa membedakan ‘berkeluarga’ dengan ‘bersetubuh’, memeriksa fizik [badan] dengan memeriksa moral, ‘bertugas di luar kota’ dengan ‘tak pakai kondom’" -- Ayu Utami dalam majalah Djakarta! (Mei, 2002)

"Saya mau masturbasi, ah," tulis Ayu Utami di awal-awal sebuah rencananya. Novelis dari Jakarta ini popular, dan pemenang anugerah sastera, dengan Saman dan Larung. Mujurlah dia berbicara lanjut: "Yaitu asyik berbicara tentang diri sendiri. Lagi-lagi tentang topik yang membosankan: kawin atau tidak kawin."

Tulisan "kurang sopan" ini boleh dibaca dalam himpunan catatan pendek, Si Parasit Lajang. Karya terbaru Ayu terbahagi tiga. Kupasan berani isu-isu kondom, selera seks, mimpi basah, patriarki, anak patung Barbie, tetek atau bintang porno dikelaskan di bawah bahagian "Seks, jender dan kapitalisme".

Sangat sukar (apakah pernah ada?) penulis di Malaysia mengupas persoalan seumpama ini dengan mudah dan menghiburkan tetapi matang dan rasional. Apatah lagi penulis "lancang" ini seorang wanita pertengahan 30-an yang tidak mahu berkahwin dan sudah mengumpul, bukan sekali gus, lima orang pacar. "Di luar yang lima (tadi) tak terhitung pacar," tambahnya.

Paling dekat, dua antologi puisi (edisi samizat) Mitos Sperma Amerika buah tangan tiga penulis muda dan Bogela Testikal, karya aktivis-wartawan Rahmat Haron. Tetapi Ayu membentangkan isu-isu "sensitif" ini melalui 13 rencana (bukan cereka) dalam dua majalah antara Mei 1998 hingga Februari 2003.

Oleh kerana Mitos Sperma Amerika mengambil latar peperangan Iraq-Amerika Syarikat yang cukup meluap-luap, mudah menggamit iman dan sekali gus emosi, maka antologi ini "dihalalkan" Diskusi di Rumah PENA atau ulasan akhbar tentang karya ini umumnya positif.

Ungkapan-ungkapan berbaur "lucah" atau "makian" (masih boleh dibahaskan) dalam puisi-puisi Lutfi Ishak, Anjan Ahzana dan Jimadie Shah ini terus sahaja dibenarkan, sementelah lagi diangkat sebagai luahan puncak kebencian sasterawan muda.

Nampaknya, jika kita masih muda atau sedang marah, maka lesen kreatif kita tiba-tiba sahaja boleh lebih besar! Tetapi rupa-rupanya tidak begitu.

Seorang pensyarah kanan yang berminat menerbitkan antologi (samizat) ini kepada edisi buku "segan" memakai tajuk asal. Dia mengenakan syarat tambahan: perkataan "sperma" harus digugurkan daripada Mitos Sperma Amerika jika projek penerbitan ini mahu dijayakan.

Kita tidak tahu apakah sajak-sajak dalam antologi ini akan disunting lagi kerana projek ini terus gagal akibat para pengarang menolak pengguguran kata "sperma" dari judulnya.

Bogela Testikal tentunya lebih sukar disenangi, agak saya. Beberapa bait yang eksplisit dengan sokongan grafik sedikit pornografik (kalau mahu disebut begitu) juga terdapat dalam buku Ayu Utami itu tentunya boleh mengundang rasa resah. Namun sebagai sebuah samizat terbitan sendiri, antologi ini tidak kurang sambutannya.

Tulisan saya dalam majalah seni budaya Siasah (tidak lagi beroperasi) tentang "politik kelentit" malangnya memancing rasa ganjil, jika tidak mual, seorang sasterawan besar dan beberapa ahli politik pembangkang. Malah teman-teman wartawan di Malaysiakini.com, semacam takjub dengan keterbukaan saya itu, walau tentunya mereka juga ketawa besar.

Siri tulisan saya "ringan-ringan", "dua tebing" atau "buah dada" sebelum itu sedikit sebanyak telah mula menggelisahkan penerbitnya. Walau sudah dipesan agar tidak menulis lagi tema seumpamanya, tetapi dengan berkat taktik "kotor", saya mencerahkan sikap dalam coretan (Siasah, Mei 2003) seterusnya "Polit*k kel*nt*t (lagi?)". Kali ini, sidang pengarang berganda-ganda resahnya! Maaf!

Bukan soal mengungkit kemelut peribadi atau hal remeh-temeh di sini.

Tajuk filem U-Wei Hj Saari, Perempuan, Isteri dan .... (sebaris titik ini asalnya: Jalang) pernah menjadi kontroversi. Proses "samakan budaya", cultural sanitization, seumpama inilah yang harus mengganggu kita semua khasnya budayawan, seniman atau aktivis.

Apatah lagi awal tahun 2003, The Sun melaporkan bahawa secara tidak rasmi stesen-stesen radio kita mengharamkan perkataan kondom walau ia diucap untuk kempen anti-Aids oleh tokoh besarnya, waktu itu anak Perdana Menteri, Marina Mahathir.

Perkataan 'keling' didesak agar tidak dimasukkan di dalam kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rangkap-rangkap sajak penulis muda Salman Sulaiman "sepatuku dicuri tangan Tuhan sendiri, takdir tetap pasti, bahawa Tuhan tak akan memotong tangan-Nya lagi" dianggap, oleh sasterawan Shuhaimi Hj Muhammad, "tidak sesuai dengan khalayak umum".

Skrip filem Mistik arahan profesor madya A Razak Mohaideen perlu diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar unsur-unsur tahyul berjaya "disamak" terlebih dahulu! Oleh itu tidak perlu pemotongan berlebihan di Lembaga Penapisan Filem (LPF), kononnya.

Begitu juga bantahan terhadap filem Bruce Almighty didakwa "bertentangan dengan agama kerana menzahirkan Tuhan atau melawak dengan watak-Nya" walau inti moral dan kesimpulannya tidak kurang religious dan boleh menginsafkan penonton (jika mahu).

Juga, jangan lupa, garis panduan baru yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk teater atau persembahan pentas. Ia berbangkit susulan perselisihan dewan ini dengan Instant Cafe Theatre (ICT) beberapa bulan lalu.

Garis panduan terlalu umum dan sangat terhad. Jika diikut, hampir semua ekspresi seni lakonan pentas terkubur.

Terkini, saya dimaklumkan, pihak berwajib menapis skrip bagi empat persembahan teater Projek Suitcase 2003 pertengahan bulan Disember (lepas), yang diusahakan oleh penggiat muda negara ini dan Singapura.

Wisma Putra dengan khabarnya melarang perkataan "George W Bush" dan "Tony Blair" diungkapkan oleh pelakon-pelakon ini!

Mengapa muncul semacam gejala penyamakan, atau sanitisasi, budaya seumpama ini? Apakah ia proses terbaik memperelok moral bangsa atau sejenis ancaman paling berbahaya terhadap kebebasan kreatif?

Rupa-rupanya kita makin seronok menjadi "polis moral", meminjam istilah yang suka diucap Rahmat Haron, akhir-akhir ini.

Lebih jauh lagi, kita boleh bertanya sama ada gejala ini datang akibat merebaknya fundamentalisme Islam atau/dan semakin kuatnya kongkongan politik? Bagaimana bentuk luahan kreatif, dan juga karya bukan cereka, kita pada masa depan jika kecenderungan ini berlanjutan?

Soal inilah yang harus dijadikan wacana serius seniman dan sasterawan kita dan juga mereka yang merenung isu-isu kebebasan bersuara, demokrasi atau hak asasi.

Proses menyamak budaya datang daripada orang ramai, bukan hanya birokrasi atau kuasa politik, dan tanpa sistem "suntingan moral" yang rasional-ilmiah. Sebaliknya ia berkembang semata-mata daripada psikologi, rasa kurang senang, yang tidak berasas.

Menyamak budaya merupakan tanda-tanda konservatisme yang semakin melampau dalam masyarakat kita. Sementara birokrasi pula menjadikan desakan daripada orang ramai itu, di luar kerajaan, sebagai alasan untuk mengecilkan ruang luahan kreatif dan bukan kreatif.

Mula-mula alasan menjaga moral, kemudian menjaga kepentingan politik.

Kita tentu sukar menerima penyamakan puisi Chairil Anwar, "aku ini binatang..., dari kumpulannya terbuang" atau lagu Selimut Putih (popular sejak 1970-an) digam daripada keudara.

Walau pernah sekali, tahun 2000, sebuah tabloid pembangkang tersohor menyamak perkataan Karl Marx daripada rencana aktivis-pengarah filem Hishamuddin Rais.

Karya yang bertemakan pelacur, anak haram, hubungan sejenis atau wanita simpanan -- sisi-sisi gelap kemanusiaan, intrigue, kemelut atau paradoks dunia mereka -- akhirnya nanti, saya menduga, tidak jauh daripada khutbah moral. Ibarat mutiara nasihat di akhir novel porno Mona Gersang?

Cerpen atau novel untuk remaja kita memang telah lama memakai dasar ini, dasar menyamak budaya agar yang indah sahaja dipaparkan (mungkin wajar kerana dianggap peringkat bawah umur).

Cuma kita hairan apabila mendengar puisi, atau membaca ruangan gosip-gosip artis, yang dikarang seakan-akan dari atas mimbar.

Dengan latar kongkongan seumpama ini, tidak mungkin muncul karya-karya seumpama Ayu Utami walau pasarannya besar (saya percaya) kerana diminati ramai dan mudah difahami.
Pendekatan Ayu juga boleh dijadikan landasan untuk memudahkan wacana serius tentang feminisme, seks, kesetaraan jantina, kapitalisme atau kuasa diturunkan kepada khalayak pop.

Malah mungkin sahaja Si Parasit Lajang layak diharamkan di sini, siapa tahu? -- Fathi Aris Omar, Malaysiakini.com, 5 Januari 2004

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Sdr Fathi, sy dah baca artikel ini. Apa yg Sdr mau? Kebebasan mutlak? Tidak, tidak mungkin Sdr dapat!!!

8:03 PM  

Post a Comment

<< Home