Thursday, December 29, 2005

Wacana kelabu asap

"I am a rationalist. That is, I am trying to stress the importance of rationality for man. But like all thinking rationalists, I do not assert that man is rational. On the contrary, it is obvious that even the most rational of men are in many respects highly irrational. Rationality is not a property of men, nor a fact about men. It is a task for men to achieve – a difficult and a severely limited task. It is difficult to achieve rationality even partially." – Karl Popper dalam Knowledge and the Body-Mind Problem.

Bulan lepas, seorang mufti mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa seseorang Muslim yang menyambut ‘Hari Valentine’ ala tradisi Kristian, boleh membawa ‘murtad’ (terkeluar daripada Islam). Sementara seorang penulis kolum Berita Minggu, yang agak dihormati, bekas wartawan kanan Kumpulan Utusan, pula menyeru ‘perpaduan Melayu’.

Wacana yang disebarkan di akhbar-akhbar berbahasa Melayu ini kelihatan indah dan munasabah. Oleh itu, ia dipersetujui senyap-senyap dan dikembangkan pula dalam perbualan harian pembaca.

Media massa, seperti juga pertuturan, satu proses komunikasi. Ia terbatas – oleh ruang dan masa. Ia boleh disalah-tafsirkan oleh khalayak. Tetapi media lebih besar akibatnya daripada komunikasi biasa sebab ia menjadi ‘orang tengah’ yang menggambarkan tentang realiti kita bersama.

Tetapi semua komunikasi, termasuk media media massa, melalui proses penyusunan atau tafsiran. Cebisan-cebisan maklumat tidak akan difahami oleh khalayak tanpa dipaparkan dengan bermakna. Oleh itu, wartawan menyusun maklumat agar difahami kita semua. Wartawan sebagai penafsir realiti. Media massa sentiasa dibatasi ruang (saiz akhbar) atau masa (siaran).

Cara manusia bercakap atau menulis juga satu susunan. Kita bertutur sepatah demi sepatah, ayat demi ayat. Begitu juga kita menulis. Dalam penulisan berita, susunan ini sangat penting kerana kandungan utama ‘berita’ terletak di ayat awal (atau perenggan paling atas).

Kemudian disokong oleh huraian lanjut untuk memberi gambaran lebih jelas dan konteks (hubungan latar atau maklumat sokongan, termasuk apa yang telah dilaporkan sebelumnya).

TV pula memasukkan imej yang menyokong teks yang dibacakan penyampai berita. Radio memasukkan suara sumber (jika ada, jika relevan) dengan teks yang dibaca. Oleh itu, semua kandungan media hakikatnya bahan bertulis. Bunyi dan paparan imej hanya tambah mengukuhkan.

Selain susunan seumpama ini, kita berdepan dengan pemilihan perkataan (lexicon) untuk menekankan maksud khusus, mengulangkan, menggambarkan sesuatu, perlambangan, gaya dalam penulisan. Pemilihan perkataan dan susunan maklumat disebut slant (kecondongan) berita mengikut perspektif seseorang wartawan, penulis atau media. Semua proses ini dipanggil pembingkaian berita atau framing of news.

Dalam takrif kajian media, antaranya oleh Robert M Entman dalam ‘Framing: Toward Clarification of a Fractured Paradigm’ (Journal of Communication, No 4, 1993) pembingkaian disebut: pemilihan pelbagai aspek realiti yang diterima dan membuat peristiwa itu lebih menonjol dalam sesuatu teks komunikasi, dalam banyak hal ia bererti menyajikan secara khusus takrifan terhadap masalah, tafsiran sebab-akibat, penilaian moral, dan tawaran penyelesaian sebagaimana masalah itu digambarkan.

Penyusunan berita-berita yang berbingkai ini disebut agenda-setting atau penetapan agenda – selalunya secara sengaja atau sedar. Kita boleh katakan pembingkaian dan penetapan agenda itu satu proses yang sama: "meringkas, memilih, membezakan, membataskan dan menyusun bahagian-bahagian maklumat supaya difahami" dan mempengaruhi khalayak.

Media massa memilih dan menyusun, mengulang dan menonjolkan, sesuatu wacana untuk meyakinkan kita semua tentang sesuatu yang dilaporkannya. Ia bukan sekadar persembahan fakta atau peristiwa.

Media massa memilih dan menyusun, mengulang dan menonjolkan, cebisan-cebisan realiti sebagai satu wacananya. Di sebalik wacana ini tersirat pelbagai proses penyaringan realiti. Ia bukan lagi abjad, perkataan, ayat atau berita – ia adalah satu wacana, gabungan semua itu.

Wacana boleh dianggap antara produk terakhir media yang mengumpul data, fakta atau maklumat (dalam susunan bahagian-bahagiannya yang koheren) ibarat abjad yang telah menjadi sebuah novel tebal dengan ceritanya yang menarik.

Contoh menarik wacana, hasil pembingkaian berita, ‘Melayu perlu bersatu’. Ia bukan idea atau penyataan yang baru tetapi akhir-akhir ini sering dipopularkan semula dan berjaya juga mempengaruhi orang ramai, selalunya yang tidak berfikir.

Pembaca, atau penonton yang tidak berfikir, mudah tertarik dengan wacana ini kerana kelihatan munasabah dan menarik. Siapa yang dapat menolak pentingnya ‘perpaduan’? Malah, kata ‘perpecahan’ atau ‘pecah-belah’ itu sendiri sudah cukup negatif.

Seimbas lalu, kata ini membawa imej negatif di dalam otak kita. Sebab itu, khalayak yang tidak berfikir berlapis-lapis, berkali-kali, senang terbius dengan wacana "Melayu perlu bersatu".

Tetapi di sebalik wacana ini, jika kita berfikir dengan kritis, apakah sebenarnya yang tersirat di sebalik penyataan ‘Melayu perlu bersatu’? (a) Melayu sedang berpecah-belah, (b) wujudnya kelompok-kelompok Melayu, misalnya PAS, Keadilan dan Umno. (c) wujudnya fahaman-fahaman hidup, politik khususnya, sebagai identiti-identiti kelompok ini.

Wacana ‘Melayu perlu bersatu’ sering menyembunyikan premis-premis atau lantai sandaran hujah (a), (b) dan (c). Kata ‘Melayu perlu bersatu’ sahaja yang diulang-ulang tetapi penyataan-penyataan lain yang tersirat tidak dibongkar. Apabila kita menyelak premis-premis sokongan kepada agenda ini, maka jelas sekali kempen ‘Melayu perlu bersatu’ tidak dapat dipertahankan, malah palsu sama sekali.

Penyataan-penyataan (a), (b) dan (c) hakikatnya realiti hidup dalam masyarakat di mana-mana negara dan sepanjang ketamadunan manusia. Manusia tidak pernah hidup tanpa kelompok walau dalam kaum yang sama, atau dalam parti yang sama.

Selain warna kulit (faktor biologi) atau budaya (faktor sosialisasi), wujud lagi bermacam-macam kelompok dalam mana-mana masyarakat akibat kepentingan atau perspektif hidup yang berbeza-beza.

Bahasa, kelas ekonomi, latar pendidikan atau kumpulan kerjaya boleh membina kelompok tersendiri. Dalam parti politik, termasuk Umno dan PAS, wujud pelbagai puak (faction). Lihat kajian menarik misalnya Faction Politics suntingan Frank Belloni dan Dennis Beller (1978).

Penyataan (a), (b), dan (c) sengaja ditenggelamkan, sebaliknya hanya penyataan ‘Melayu perlu bersatu’ dibiarkan bergerak dalam wacana ini. Dari penyataan permukaan ini, dikembangkan pula penyataan-penyataan, contohnya:

(1) PAS dan Umno perlu bermuzakarah,
(2) Keadilan juga harus menyertai muzakarah Umno-PAS,
(3) semua orang Melayu wajib menyokong kepemimpinan atau kerajaan sedia ada,
(4) Melayu bersatu untuk mengukuhkan prestasi mereka bagi berhadapan dengan kaum-kaum lain di negara ini atau kesan arus globalisasi.

Kita akan dapat mengesan sejumlah wacana yang lebih kompleks, sarat dengan statistik, hujah-hujah akademik dan anekdot, hanya sebagai proses mengembangkan premis permukaan ‘Melayu perlu bersatu’.

Lama-kelamaan orang terlupa untuk memikirkan premis ini apabila sudah berkembang wacana (1), (2), (3) atau (4). Sebagaimana orang sudah lupa menggali (a), (b) dan (c) apabila terbius dalam fikirannya ‘Melayu perlu bersatu’.

Wacana memang menyembunyikan lantai sandaran hujah yang bertingkat-tingkat, ia mempunyai sejarah, datang bersamanya unsur-unsur ‘kuasa’, dan juga ada kesan-kesan ‘holistik’. Wacana juga mewarisi keterbatasan ‘bahasa’, alat logik yang sering menapis atau melencongkan realiti.

Kita sukar lagi membongkar sesuatu wacana tanpa mengenali susuknya, sempadan wacana, yang sudah berkembang biak dan tergabung jalin seperti wacana modenisme, Marxisme atau Islam dengan segala mazhab pemikirannya yang berkembang-biak beratus-ratus tahun.

Malah, ada waktunya ia mempengaruhi bidang-bidang pemikiran yang lain, misalnya kata-kata ‘moden’, ‘sains’, ‘pembangunan’, ‘negara Islam’ dan ‘perancangan’ – apakah kita sedar ketika menutur istilah-istilah ini, ia datang bersama sejumlah premis (latar idea) yang kompleks?

Begitu juga kenyataan mufti Perak tentang sambutan ‘Hari Valentine’ menjelang 14 Februari lalu di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia. Beliau menggunakan hujah hadis selepas membuat premis ringkas "seseorang Islam boleh menjadi murtad jika menyambut Hari Valentine ala masyarakat Kristian."

Mufti ini tidak sedar bahawa wacananya sudah tidak relevan, malah songsang sama sekali. Pernahkah dia mengkaji bagaimana sambutan ‘Hari Valentine’ di negara ini sekarang, sama ada di kalangan orang Islam atau bukan Islam?

Apakah mereka menyambutnya ala ‘tradisi Kristian’? Jika tidak begitu sambutannya, kenapa ditimbulkan premis seumpama itu?

Ibarat kita berdiri di suatu tempat dan melihat banjaran bukit yang berlapis-lapis hingga ke kaki langit. Mula-mulanya hijau gelap, kemudian membentuk warna-warna seakan kebiruan. Dari dekat kita nampak batang-batang pokok, kemudian hutan dan akhirnya hanya segunung warna biru yang sayup-sayup.

Wacana ‘Melayu perlu bersatu’ atau ‘menyambut Hari Valentine boleh membawa murtad’ ibarat segunung warna biru di kaki langit – indah tetapi membutakan mata daripada melihat daun, batang dan hutan. -- Fathi Aris Omar, Malaysiakini.com, 1 Mac 2004

0 Comments:

Post a Comment

<< Home