Thursday, January 05, 2006

Intelektual tewas jiwa

Di Rusia, pada awal abad ke-19, muncul golongan terpelajar yang berasa kecewa dan menyerah diri kepada persekitaran buruk negara itu. Mereka digelar 'intelektual yang tidak berguna' ekoran kegagalan mereka mewujudkan atau meneruskan reformasi politik.

Penindasan kerajaan juga sangat melampau dan menakutkan. Kegagalan pemberontakan 1825 mengakibatkan kerajaan Nicholas I bertindak keras. Lima orang dihukum mati dan 500 lagi dibuang ke Siberia, tanah gersang yang perit.

Ramai yang bersikap liberal dan revolusioner, walau tidak terbabit dalam pemberontakan itu, juga dikenakan hukuman. Antara tahun 1832 hingga 1852, kira-kira 150,000 orang dihantar ke Siberia.

Pada waktu ini, tumbuh rasa putus asa dan kecewa, 'sense of resignation', di kalangan kaum terpelajar di Rusia. Idea-idea terlarang, yang bersifat reformasi dan diilhami dari Eropah Barat, masih tersebar.

Beberapa dekad sebelum itu, Eropah, Amerika Syarikat dan juga England memang rancak dengan reformasi (malah revolusi) politik. Tetapi idea ini tidak mendapat sambutan orang ramai di Rusia, tidak dipedulikan dan tidak dibaca. Pemerintah mengancam rakyat dengan tali gantung.

Seorang ahli sejarah Rusia dari Poland menggambarkan gejala itu begini: 'Akibat keadaan seperti itu, muncullah orang yang tidak berguna yang menyedari bahawa aspirasi, bakat dan pengetahuannya tidak berguna dalam kehidupan bangsanya, jenis orang yang kerana malas terpaksa rosak moralnya.'

Jan Kucharzewski menambah: "... individu-individu yang berfikiran dan berperasaan menentang rejim [Rusia] tersebut dan keadaan [sosial] yang menyedihkan [ini] untuk bertahan hidup, [mereka] segera menyedari bahawa mereka tidak dapat membebaskan jiwa mereka dari racun busuk yang disuntikkan [oleh] sistem itu tidak hanya kepada para pendukungnya [kerajaan Rusia], malah kepada lawan-lawannya [aktivis antikerajaan]."

Syed Hussein Alatas, dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun (teks asal 1977), melakarkan kegagalan ini dengan nada serta analisa yang sangat menyedihkan - selain di Rusia, di beberapa negara lagi. Sangat baik jika kita merenung kembali karya besar ini, khasnya bab-bab "Kaum intelektual dan fungsinya" dan "Munculnya kaum intelektual".

"Jiwa-jiwa [intelektual] yang kerdil memanfaatkan waktu mereka untuk omong kosong tentang kekacauan masyarakat. Kebajikan dan kecurangan sama saja. Istilah orang jujur bererti orang yang tertipu, atau hampir dungu," tulis tokoh sosiologi ini, mengutip pandangan Kuchazewski.

Robert McChesney, profesor media dalam buku hebatnya Rich Media, Poor Democracy (2000), turut menjelaskan gejala seumpama ini di Amerika Syarikat sekarang dalam konteks yang sedikit berbeza. Buku ini mengupas pemusatan pemilikan organisasi media di beberapa tangan pemodal dan terhakisnya ruang orang ramai untuk menyertai proses demokrasi.

McChesney melanjutkan lagi analisa cemerlang Ben Bagdikian dalam The Media Monopoly (1983, 1997), mengenai bagaimana 50 syarikat media dalam beberapa dekad lalu perlahan-lahan menjadi kurang daripada 10 syarikat gergasi kini.

Pemilikan media seperti inilah yang melahirkan sejenis corak liputan yang "jinak dengan kerajaan" dalam tragedi 11 September 2001 dan juga perang di Iraq baru-baru ini.

(Lihat tulisan lain McChesney dan beberapa penganalisa lagi dalam buku Journalism after September 11 (2002). Kita tidak berhasrat membincangkan isu pemilikan media di sini tetapi ingin melihat bagaimana "perasaan lembik", termasuk di kalangan aktivis atau pemikir, berdepan dengan sistem politik dan media yang terlalu besar di negara itu.)

Tulis McChesney: "...Perasaan utama di Amerika Syarikat kini adalah sifat menyerah dan tanpa semangat, bukan hanya mengenai isu-isu media tetapi juga politik."

Perasaan ini merebak di kalangan aktivis dan mereka yang sedar. Katanya lagi, "malah di kalangan mereka yang membenci pemusatan korporat dan konglomerat, komersialisme melampau, dan kemerosotan khidmat awam dan kewartawanan, dan mereka yang menganggap dampak sosio-politik gejala ini sebagai sangat-sangat negatif, terdapat rasa musnah bahawa ia [gejala ini] tidak terelakkan lagi."

Rasa lembik, kecewa dan lemah itu bukanlah benar tetapi dirasa-rasakan "benar" oleh mereka yang tewas serta menyerah. Malah, hujah profesor ini, keadaan hari ini lahir melalui siri-siri usaha terancang golongan pemodal dengan pemimpin politik Amerika.

Syed Hussein, dalam karya yang sama, menyebut "intelektual yang tidak berguna" ini mengundur secara pasif untuk tidak berbuat sesuatu, tidak mencipta mahupun berjuang, hanya berasa diri dipencilkan dan tertinggal.

Di satu tempat, beliau mengupas begini: "Mereka pasti tidak tahan atas ketiadaan daya untuk mempengaruhi peristiwa, melihat orang yang kurang cemerlang menguasai keadaan, dan menyaksikan pengaruh kebebalan dalam fikiran banyak orang."

Pengalaman Rusia pada awal abad ke-19 dan kini di Amerika Syarikat itulah yang merebak di kalangan cerdik pandai Melayu hari ini, baik yang sudah bertapak kukuh atau anak muda.

Misalnya, mereka yang pernah bergiat atas pentas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan rancak sekali menulis sekitar 1970-an atau 1980-an atau ketika bekas presidennya Anwar Ibrahim dalam kerajaan.

Tetapi hari ini mereka diam membisu, gagal menulis apa-apa kepada awam, apatah lagi memberi kepimpinan intelektual. Abim kini bukan jurubicara tetapi "jurubisu ummah"!

Mereka yang dulunya bercakap (menulis) tentang "budaya ilmu", "idealisme universiti" atau "Melayu baru", idea yang bersarang bersama manusia Abim, kini berteleku bersama "intelektual yang tidak berguna" semacam Rusia kurun ke-19.

Tidak kurang di kalangan mereka yang menyertai parti pembangkang tetapi tidak pula kelihatan jelas memimpin idea dalam gerakan itu. Malah sebilangannya menjadi pemimpin politik yang buruk dalam parti itu.

Tidak sedikit ahli akademik yang memihak kepada, atau muncul dalam, kegiatan parti pembangkang serta badan bukan kerajaan (NGO) hari ini, tetapi mereka sendiri tidak lagi mengupas serta memperjuangkan idealisme kebebasan akademik - satu aspek pembangunan intelektual terpenting dalam sesebuah bangsa.

Mereka seolah-olah telah menguburkan idealisme itu dalam buku Akademia Menjelang Tahun 2000 (cetakan 1991), hasil seminar di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum itu.

Berbanding aktivisme siswa yang belum mati-mati, walau terbatas serta kerap pula ditindas, pensyarah-pensyarah ini layak saja digelar "intelektual yang tidak berguna".

Ahli akademik ini nampaknya lebih suka menyibukkan diri dengan hal-hal lain (walau tidak dinafikan penting atau berkepentingan awam) tetapi melupakan ruang mereka sendiri, yang tidak boleh dilupakan dalam konteks pembangunan nasional, kerana sekatan-sekatan yang semakin ketat di kampus.

Pembabitan di luar kampus itu pula tidaklah menonjol kecuali menjadi pengikut sahaja, antara sebabnya akibat sekatan ketat itu.

Kata Syed Hussein: "Banyak anggota kelompok akademik di Asia merupakan manusia yang tidak berguna. Bakat dan tenaga mereka lebih daripada apa yang digunakan dalam kerjaya mereka. [Tetapi] mereka disekat daripada urusan umum oleh kerajaan yang bersikap monopoli (kuasa)."

Lalu mereka menyerah kalah, atau bersembunyi di balik orang politik (pembangkang) serta tidak memimpin arah, dan tidak berusaha menulis, walau mengguna nama pena.

Sebab itu, sejak krisis politik 1998, terasa benar tandusnya kupasan matang, ilmiah dan bijaksana dalam media pembangkang atau alternatif. Tidak mungkin muncul kelemahan tulisan atau sudut pandangan jika golongan terpelajar Melayu membabitkan diri dalam penulisan, walau melalui media alternatif.

Pejuang bahasa dan sastera, yang dulu punyai dinamika sendiri, juga berdiam diri, kalaupun tidak mengampu orang politik walau korup nilai dan amalannya. Kata orang Indonesia [Seno Gumira Ajidarma dalam ], apabila akhbar dilarang, sastera bersuara. Tetapi di negara ini, sastera sudah lama rongak dan kudung lidahnya.

Sementara anak muda terpinga-pinga mencari arah, akibat tiada kepimpinan intelektual. Sebilangan mereka menyertai aktivisme secara ala kadar, tidak cemerlang, "tangkap muat" dengan situasi politik hari ini yang keras.

Anak muda yang terkena penindasan, seperti dipecat dari universiti atau dihadapkan di mahkamah, menyedari tindakan menentang kerajaan itu "salah" dan "sia-sia" kerana tidak dibela dan tidak dihargai.

Menyedari kecelakaan politik seperti itu, sebilangannya menyisih diri perlahan-lahan walau sebelumnya semangat berkobar-kobar, sementara selebihnya bergiat dengan "memaksa-maksa diri", biar dilihat ada, bukannya untuk bersungguh-sungguh.

Ada juga di kalangan anak muda memaki-maki "kecuaian" generasi lalu, termasuk yang pernah berada dalam kerajaan (misalnya, orang Anwar yang kini bersama pembangkang atau berdiam diri).

"Apa gunanya mengembangkan aspirasi-aspirasi mulia, jika lambat-laun orang harus bergabung dengan majoriti [masyarakat yang berdiam diri] supaya tidak menjadi korban," tulis Kucharzewski dalam The Origins of Modern Russia (1948), seperti kutipan Syed Hussein.

Tidak kurang juga aktivis Melayu, termasuk yang berpengalaman, mencipta tanggapan palsu, dalih cetek atau justifikasi pelik tentang kenyataan hidup di negara ini. Malaysia telah dianggap "unik" atau "istimewa" akibat tiada jalan keluar walaupun sudah berpuluh-puluh tahun menentang kejahatan politik.

Tanpa kajian mendalam atau perangkaan sokongan, mereka mendakwa, misalnya, "jika Imam Khomeini atau Che Guevara bergiat di sini, dia tentunya akan menyokong Umno atau sudah lama ditahan di bawah ISA [oleh itu, gagal membawa perubahan]."

Tanggapan-tanggapan liar ini membelit usaha mereka sendiri untuk bertindak lebih kreatif dan imaginatif. Realiti politik, sikap masyarakat atau mentaliti Melayu hari ini dianggap sejenis "pemalar" yang tidak mungkin berubah-ubah lagi.

Mereka melihat ke dalam masyarakat dengan menyimpan rasa kecewa yang amat sangat hingga terlupa mengkaji atau menjenguk kesakitan-kesakitan hidup dalam sejarah atau senario masyarakat di negara-negara lain. Ini semua, tidak syak lagi, unsur ketewasan jiwa yang sangat mendalam.

Mereka tidak jernih atau bertenang menanggung tekanan politik yang sukar dihadang, apatah lagi direformasikan. Kerajaan bertindak keras, sementara rakan-rakan seperjuangan kelihatan tidak serius dan kreatif.

Intelektual Melayu tidak sedar bahawa, seperti di Rusia dan negara-negara Asia pada beberapa tahap sejarah atau Amerika Syarikat hari ini, mereka itulah "intelektual yang tidak berguna." -- Fathi Aris Omar, Malaysiakini.com, 12 Mei 2003

-----------------------------------------------------------------
Artikel ini bahagian pertama daripada dua siri, 'Krisis kepemimpinan' intelektual Melayu (Malaysiakini.com, 19 Mei 2003) yang telah dimulai dengan beberapa siri kritik penulis ini kepada golongan terpelajar Melayu, misalnya Golongan intelektual awam dilanda kemiskinan imaginasi (Malaysiakini.com, 20 Jan 2003) dan kemudiannya diterjemahkan oleh majalah Aliran Monthly, Public intellectuals and the poverty of imagination

2 Comments:

Anonymous kangmasanom said...

ass wr wb

7:05 AM  
Anonymous Anonymous said...

ok good fathi, lama tak nampak kau, masih di Jakarta?

12:41 AM  

Post a Comment

<< Home