Thursday, February 09, 2006

Sarawak Tribune jadi korban

9 Februari 2006
KENYATAAN MEDIA~

Tutup Sarawak Tribune Reaksi Berlebihan

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) membantah tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) yang menarik balik permit surat khabar Sarawak Tribune berhubung isu “Kartun Nabi Muhammad.”

Tindakan tersebut merupakan reaksi yang berlebihan (over re-acted) sedangkan pihak Sarawak Tribune sudah dua kali memohon maaf, di samping Editor yang bertanggungjawab juga sudah dikenakan tindakan berhenti. Oleh itu, kami juga tidak bersetuju apabila pihak Sarawak Tribune juga dikatakan akan diheret ke mahkamah atas ‘kesalahan’ itu.

Oleh itu, kami beranggapan bahawa Kerajaan melalui KKDN seharusnya tidak turut hangus dalam kemarahan dan sentimen semasa sungguhpun terdapat desakkan daripada beberapa menteri kabinet, parti politik dan individu tertentu untuk membungkam surat khabar berkenaan.

Penutupan Sarawak Tribune harus dilihat akan hanya merugikan proses mencapai kematangan dan pertanggungjawaban dalam tugas kewartawanan dan kebebasan media umumnya.

Lebih malang apabila desakan tersebut mudah ditafsir masyarakat sebagai tidak jujur dan hanya bermotif politik tatkala Sarawak akan berhadapan dengan pilihanraya negeri tidak lama lagi.

Kerajaan juga digesa memikirkan secara adil nasib sejumlah kakitangan Sarawak Tribune lainnya yang akan kehilangan kerja kerana tindakkan KKDN. Tentulah ramai kakitangan badan media itu sama sekali tidak bersalah dalam isu ini.

Seraya, kami juga sangat memandang berat dan kesal dengan sikap “tidak berhemat” akhbar Denmark, Jyllands-Posten yang seolah-olah jelas berniat mempersenda sentiviti umat Islam.

Langkah penerbitan sesuatu bahan media itu dengan alasan “hak untuk mempersenda” adalah hujah yang sangat lemah dan sama sekali tidak bersesuaian dengan semangat dialog perabadan (civilizational dialogue) yang sedang rancak berkembang di seluruh dunia.

Kami tegaskan, menipu dan menutar belit fakta atas tujuan apa sekalipun sama sekali tidak sejajar dengan makna kebebasan media.

Namun begitu, menyiarkan semula (re-publish) bahan-bahan yang dianggap “kontroversi” atau “sensitif” ada kalanya masih wajar dalam konteks menjelaskan sesuatu isu terdahulu.

Dalam kes “Kartun Nabi Muhammad,” kami percaya bahawa tindakan Sarawak Tribune itu tidak lebih hanya untuk memahamkan kepada pembaca mengapa umat Islam seluruh dunia begitu marah dengan tindakan surat khabar Jyllands-Posten.

Kami juga menggesa agar umat Islam dan rakyat Malaysia mendalami perdebatan tentang kebebasan media, dan tidak menjadikan isu yang cuba diputarkan oleh Jyllands-Posten sebagai kayu ukur muthlak tentang konsep dan makna “kebebasan media.”

Semoga Tuhan menunjukkan jalan, amin.

Sekian. Terima kaseh.

Hasmi Hashim,
Jurucakap & koordinator pemantauan media,
Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT)

E-mel: jalantelawi@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home