Monday, February 13, 2006

Tidak setuju Tribune ditutup

KUALA LUMPUR, 11 Feb - Di tengah-tengah kemarahan umat Islam terhadap penyiaran semula kartun yang menghina Nabi oleh Sarawak Tribune, ada juga pihak yang tidak mahu tindakan melampau dikenakan ke atas akhbar yang menyiarkan semula kartun itu.

Bagi mereka, langkah penyiaran itu boleh jadi bertujuan untuk memberitahu pembacanya apa yang dimarahkan sangat oleh umat Islam tentang kartun itu.

Komunite Seni Jalan Telawi, sebuah badan NGO tidak bersetuju dengan desakan agar akhbar Sarawak Tribune ditutup memandangkan tidak semua petugas akhbar berkenaan bersalah dengan perbuatan biadab itu.

Menurut jurucakap komunite berkenaan, Hasmi Hashim, Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) membantah tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) yang menarik balik permit surat khabar Sarawak Tribune berhubung isu “Kartun Nabi Muhammad.”

Tindakan tersebut merupakan reaksi yang berlebihan (over reaction) sedangkan pihak Sarawak Tribune sudah dua kali memohon maaf, di samping Editor yang bertanggungjawab juga sudah dikenakan tindakan berhenti.

"Oleh itu, kami juga tidak bersetuju apabila pihak Sarawak Tribune juga dikatakan akan diheret ke mahkamah atas ‘kesalahan’ itu," katanya dalam satu kenyataan.

Mereka beranggapan bahawa Kerajaan melalui KKDN seharusnya tidak turut hangus dalam kemarahan dan sentimen semasa sungguhpun terdapat desakan daripada beberapa menteri kabinet, parti politik dan individu tertentu untuk membungkam surat khabar berkenaan.

Bagi mereka, penutupan Sarawak Tribune harus dilihat akan hanya merugikan proses mencapai kematangan dan pertanggungjawaban dalam tugas kewartawanan dan kebebasan media umumnya.

Lebih malang apabila desakan tersebut mudah ditafsir masyarakat sebagai tidak jujur dan hanya bermotif politik tatkala Sarawak akan berhadapan dengan pilihanraya negeri tidak lama lagi.

Kerajaan juga digesa memikirkan secara adil nasib sejumlah kakitangan Sarawak Tribune lainnya yang akan kehilangan kerja kerana tindakan KKDN. Tentulah ramai kakitangan badan media itu sama sekali tidak bersalah dalam isu ini.

"Seraya, kami juga sangat memandang berat dan kesal dengan sikap 'tidak berhemat' akhbar Denmark, Jyllands-Posten yang seolah-olah jelas berniat mempersenda sentiviti umat Islam.

"Langkah penerbitan sesuatu bahan media itu dengan alasan 'hak untuk mempersenda' adalah hujah yang sangat lemah dan sama sekali tidak bersesuaian dengan semangat dialog perabadan (civilizational dialogue) yang sedang rancak berkembang di seluruh dunia.

"Kami tegaskan, menipu dan menutar belit fakta atas tujuan apa sekalipun sama sekali tidak sejajar dengan makna kebebasan media," katanya.

Namun begitu, bagi mereka, penyiaran semula (re-publication) bahan-bahan yang dianggap “kontroversi” atau “sensitif” ada kalanya masih wajar dalam konteks menjelaskan sesuatu isu terdahulu.

"Dalam kes 'Kartun Nabi Muhammad,' kami percaya bahawa tindakan Sarawak Tribune itu tidak lebih hanya untuk memahamkan kepada pembaca mengapa umat Islam seluruh dunia begitu marah dengan tindakan surat khabar Jyllands-Posten," katanya dalam kenyataan itu.

Mereka juga menggesa agar umat Islam dan rakyat Malaysia mendalami perdebatan tentang kebebasan media, dan tidak menjadikan isu yang cuba diputarkan oleh Jyllands-Posten sebagai kayu ukur mutlak tentang konsep dan makna “kebebasan media.”

"Semoga Tuhan menunjukkan jalan, amin," kata mereka dalam kenyataan itu.

Sumber: 'Ada yang tidak setuju Sarawak Tribune ditutup', Harakahdaily.net, Sabtu 11 Feb 2006


+ * + * +

Beberapa pautan (link) dari akhbar Denmark yang kontroversi, Jyllands-Posten:

> Penjelasan ketua editor, 'The editor and the 12 cartoons' (18 Disember 2005)
> Idea bagaimana kartun diterbitkan, 'The story behind the drawings'
> Editor rasa serba salah, 'The editor's dilemma' (5 Februari 2006)
> Kenyataan kepada umat Islam, 'Honourable fellow citizens of the Muslim world'
> Bagaimana ia bermula, 'Chronology'

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

DEBAT isu “karikatur menghina Nabi” akan diadakan malam (7 Mac / Selasa) di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya jam lapan malam. Seperti yang diramal, pemuda Umno sehingga hari ini masih belum menghantar wakil mereka untuk debat berkenaan.

Mengikut laporan sebelum ini, Dewan Pemuda Pas akan diwakili oleh Hanipa Maidin dan Hasmi Hashim pula mewakili Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT). Hasmi beberapa minggu lalu pernah mengeluarkan kenyataan media bahawa tindakan kerajaan menutup Sarawak Tribune adalah dianggap keterlaluan dan mencemoh parti politik yang mendesak PM Abdullah Badawi mengenakan tindakan membungkam Tribune.

Tidak ada sebarang bayaran dikenakan kepada orang ramai yang mahu mengikuti debat berkenaan. —Diana Syed Azman [Sariberita]

6:16 AM  

Post a Comment

<< Home